Saturday, September 20, 2008

SEJARAH PENGEMBANGAN MUZIK KERONCONG JOHOR

Sejarah Pengembangan Muzik Keroncong Johor

Genre muzik keroncong dipercayai bermula di Pulau Jawa pada abad ke-15. Alat muzik ukulele atau cuk adalah antara alat asal dalam permulaan muzik keroncong. Ukulele memang bukan alat muzik asli negara serantau. Alat muzik ukulele yang berasal dari Polynesia dan dimainkan secara solitary ( berseorangan/solo) dibawa oleh pedagang-pedagang Portugis sewaktu berdagang di sekitar Nusantara pada abad ke-15.

Melalui proses penyesuaian yang agak lama, muzik keroncong menjadi lebih sempurnamenjelang akhir abad ke-19. Muzik keroncong terus mengalami perubahan corak dari semasa ke semasa sehingga terbentuklah corak seni muzik keroncong dewasa ini. Memandangkan muzik keroncong begitu unik, merdu dan lunak didengar, seni muzik ini mudah digemari dan justeru cepat berkembang secara meluas.

Bentuk muzik keroncong dengan muzik gamelan mengandungi beberapa aspek yang hampir sama misalnya rentak dan bentuk melodinya. Muzik gamelan dimainkan dengan cara yang teratur, tetapi muzik keroncong dapat ditokok tambah mengikut perasaan pemain-pemain muziknya. Alat melodi dan bentuk suara yang digunakan dalam persembahan keroncong juga lebih luas.

Antara alat-alat muzik keroncong yang digunakan dalam kumpulan keroncong ialah double bass, cello, cuk, cak, gitar, biola dan flute.

Kehadiran muzik keroncong di negeri Johor bermula dengan kedatangan orang-orang Jawa pada abad ke-20 Kedatangan mereka secara tidak langsung memperkenalkan irama keroncong kepada masyarakat tempatan. Penyebarannya semakin meluas sehinggakan masyarakat Baba dan Nyonya keturunan Cina yang meminati muzik keroncong turut bermain keroncong sesama mereka. Malah mereka turut memberi sumbangan berharga dengan menghasilkan ciptaan lagu keroncong mereka.

Di Semenanjung, khususnya di negeri-negeri sekitar Pantai Barat seperti Johor, Selangor dan Perak, muzik keroncong mendapat sambutan berdasarkan jumlah penduduk keturunan Jawa yang agak dominan. Lagu-lagu keroncong yang digemari penduduk tempatan sewaktu perkembangan awalnya adalah lagu-lagu yang berasal dari Indonesia. Namun dalam peredaran masa khususnya selepas Perang Dunia Kedua kemunculan beberapa tokoh muzik tempatan seperti Zubir Said, P. Ramlee, Mohd Wan Yet, Johar Bahar, Sudar Mohammad, Zainal Ibrahim dan kemudiannya Mahzan Manan dan Ariff Ahmad, muzik keroncong telah mengalami inovasi dalam bentuk penciptaan bercorak tempatan yang dengan itu berupaya menggamit cita rasa penggemar irama keroncong tempatan.

Yayasan Warisan Johor merupakan institusi budaya yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan agar kesenian warisan bangsa ini tidak tersisih ditelan arus pemodenan. Selaras dengan hasrat itu Yayasan Warisan Johor telah memulakan program pengembanga muzik keroncong dibawah bimbingan dua orang jurulatih dari Indonesia iaitu Encik Kuntoro Edhi S.Pd dan Encik Suranto Hadi Widodo mulai tahun 1997.


Hasil daripada langkah-langkah pengembangan yang dilaksanakan, Bahagian Pengembangan Seni Budaya Yayasan Warisan Johor telah berjaya melahirkan 25 buah kunpulan keroncong di seluruh negeri Johor.
Usaha gigih yang dijalankan secara bersama oleh Yayasan Warisan Johor dengan organisasi-organisasi dan pihak-pihak tertentu diperingkat daerah, mukim dan kampong telah menghasilkan kesan positif penerimaan dan sambutan masyarakat terhadap seni muzik warisan bangsa ini. Harapan dan aspirasi semua adalah gagasan untuk mengangkat dan memperkasa muzik keroncong sebagai salah satu muzik warisan bangsa akan diteruskan kesinambungannya sehingga berada di singgahsana persada muzik dan dapat menyaingi mana-mana genre muzik warisan

No comments: